KUCHING: KWSP sedang mempertimbangkan cadangan untuk mendaftarkan secara automatik setiap rakyat yang mencapai usia 18 tahun sebagai ahli.
Ia disertakan dengan suntikan caruman permulaan bagi menggalakkan budaya menabung sejak awal.
Perkara itu dikongsikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah selepas menerima kunjungan hormat Pengarah KWSP Sarawak, Aminuddin Abdul Aziz di Kuching, hari ini.
Beliau berkata, cadangan berkenaan antara langkah yang dilihat mampu memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan simpanan jangka panjang, khususnya untuk persediaan hari persaraan.
Menurutnya, tahap simpanan semasa dalam kalangan rakyat masih belum memadai untuk menampung kehidupan selepas bersara dalam tempoh yang panjang, sekali gus memerlukan perubahan sikap terhadap tabiat kewangan.
“Ini menunjukkan kita perlu membina budaya menyimpan dari awal supaya masyarakat lebih bersedia apabila memasuki fasa persaraan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KWSP turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk insentif padanan caruman serta peluasan skim sedia ada seperti i-Saraan dan i-Suri bagi memperluas perlindungan sosial kepada lebih ramai rakyat.
