Warga kerja kementerian di Sarawak berpotensi sumbangkan idea inovatif

KUCHING: Warga jabatan dan agensi di bawah kementerian di Sarawak disaran berfikir di luar kotak dalam menghadapi cabaran perkhidmatan masa kini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata ini termasuk Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar kerana pendekatan `’business as usual’ sudah tidak lagi relevan dalam menghadapi cabaran itu.

“Keperluan pelanggan dan kerajaan menuntut kita untuk berfikir di luar kotak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar 2026, di sini, hari ini.

Len Talif berkata, sebanyak 31 Kumpulan KIK mengambil bahagian tahun ini terdiri Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Hutan Sarawak dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak.

Turut mengambil bahagian ialah Perbadanan Kemajuan dan Perusahaan Kayu Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Menurut Len Talif, usaha dan idea bernas yang dibentangkan sepanjang konvensyen kali ini membuktikan warga kerja kita memiliki potensi besar untuk menyumbang idea inovatif.

Menurutnya, idea inovatif terbabit bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, tetapi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian secara menyeluruh.

“Jika tidak, kita pasti akan tetap berada di takuk lama sedangkan kini dunia telah beralih kepada kepintaran buatan atau Artificial Intelligence (AI),” tambahnya.