KABONG: Empat projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) membabitkan nilai keseluruhan RM920,000 berjaya disiapkan.
Projek itu kemudian diserahkan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek-projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, antara projek yang siap ialah menaik taraf laluan belian kepada laluan konkrit di Lorong Ali Wan dengan kos RM200,000 yang dilaksanakan oleh Batrisya II Enterprise.
Katanya, projek tersebut bermula pada 15 Julai 2025 dan berjaya disiapkan 20 Februari 2026, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selesa, tahan lama dan selamat kepada penduduk setempat.
Selain itu, projek menaik taraf enam laluan belian kepada laluan konkrit di Kampung Hulu Lintang bernilai RM270,000 turut diserahkan kepada penduduk selepas siap sepenuhnya pada 23 Februari 2026.
Dalam perkembangan sama, sebuah jambatan baharu bernilai RM200,000 di kawasan ladang sawit Kampung Metang Desa yang dibina oleh Darfirazil Enterprise turut diserahkan, bagi memudahkan pergerakan penduduk serta menyokong aktiviti ekonomi dan pertanian.
Turut diserahkan ialah projek pembinaan jeti nelayan baharu di Kampung Darat Gerigat bernilai RM250,000 yang siap pada 6 April 2026 dan dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti nelayan melalui kemudahan yang lebih selamat dan teratur.
Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.
