DARO: Projek Anjung Usahawan Daro bernilai RM6 juta bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan di daerah ini.
Projek tersebut menyediakan kemudahan lengkap bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka.
Projek yang mempunyai siling kos RM5 juta itu dijadualkan memulakan pelaksanaan pada Mac 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, kemudahan tersebut diwujudkan sebagai pusat pembangunan dan pemerkasaan usahawan yang mampu memberi manfaat kepada lebih 20 usahawan tempatan pada satu-satu masa selain peserta program latihan keusahawanan.
Projek ini adalah sebagai tambahan kepada kemudahan keusahawanan sedia ada agar dapat merancakkan serta memperkasakan lagi aktiviti keusahawanan di Daro khususnya dalam kalangan bumiputera.
“Kemudahan ini akan menyediakan ruang kiosk yang membolehkan usahawan memasarkan produk masing-masing secara lebih teratur dan berdaya saing.
“Ia turut dilengkapi kemudahan pemprosesan produk bagi meningkatkan nilai tambah serta kualiti keluaran usahawan tempatan,” katanya.
Selain itu ujarnya, ia akan berfungsi sebagai pusat latihan dan bimbingan keusahawanan bagi membantu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing usahawan dalam menghadapi cabaran pasaran semasa,” katanya.
Dr Safiee menjelaskan, ruang inkubator turut disediakan bagi membantu usahawan baharu membangunkan perniagaan mereka melalui bimbingan, sokongan dan kemudahan yang lebih sistematik.
Tambahnya, Anjung Usahawan Daro juga akan menjadi platform untuk mempromosikan produk keluaran tempatan dari Daro dan kawasan sekitarnya sekali gus memperluaskan akses pasaran kepada pengusaha kecil dan sederhana.
Upacara pecah tanah projek itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
