Projek pembangunan bandar baharu perkasa sosioekonomi Daro

DARO: Projek pembangunan Pembesaran Bandar Baharu Fasa ll di sini merupakan sebahagian usaha kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan sosioekonomi luar bandar secara terancang dan mampan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek di bawah Lembaga Kemajuan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu merangkumi pembinaan 20 unit rumah kedai dua tingkat, 10 unit kedai mini dua tingkat, 10 unit industri kotej, tandas awam, pencawang elektrik, ruang terbuka dan kawasan parkir.

Projek terbabit dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan pesisir Sarawak, katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan penyediaan pelbagai kemudahan komersial dan awam fasa kedua projek tersebut mampu merangsang aktiviti perniagaan serta pelaburan.

“Sambutan yang diterima membuktikan potensi besar Daro untuk terus berkembang sebagai pusat ekonomi baharu, didorong oleh pembangunan rangkaian jalan raya dan jambatan yang meningkatkan kesalinghubungan serta memudahkan aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan itu turut menitikberatkan aspek fungsi, aksesibiliti dan keindahan landskap dengan penyediaan ruang rekreasi yang dihubungkan dengan kawasan tebingan sungai.

Hadir sama, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Daro), Dr Safiee Ahmad.

Turut hadir ialah Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili serta tetamu-tetamu kenamaan lain dan ketua-ketua jabatan Bahagian Mukah.