KUCHING :Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan hari ini melancarkan Kluster Perindustrian Peralihan Sarawak (TIC Sarawak), kluster peralihan industri pertama Malaysia di bawah inisiatif Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Majlis pelancaran diadakan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini dan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Inisiatif diterajui Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) serta Kerajaan Persekutuan itu menjadikan koridor Bintulu-Samalaju sebagai platform utama transformasi industri rendah karbon negara.
Sebanyak 25 syarikat menyertai kluster berkenaan dengan empat projek perintis dikenal pasti untuk dilaksanakan segera.
Inisiatif itu dijangka meningkatkan daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon.
TIC Sarawak akan mengukuhkan peranan negeri sebagai hab tenaga bersih, petrokimia hijau dan industri berasaskan hidrogen di rantau ini, sekali gus menyokong sasaran sifar bersih karbon Sarawak menjelang 2050.
Pelancaran TIC Sarawak merupakan langkah penting ke arah pembangunan ekonomi digital dan mampan negara dimana inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam menarik pelaburan hijau berkualiti tinggi.
TIC Sarawak merupakan sebahagian daripada rangkaian global WEF yang merangkumi 39 kluster industri di 20 negara dan dijangka menjadi model rujukan untuk peluasan program sama ke negeri-negeri lain pada masa hadapan.
