KUCHING: Sarawak melangkah ke fasa baharu dalam pentadbiran kewangan apabila memperkenalkan Belanjawan Berasaskan Hasil (RBB) sebagai asas kepada pengurusan yang lebih telus, berkesan dan berorientasikan rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan RBB memastikan setiap peruntukan yang disalurkan kerajaan dapat menunjukkan hasil yang boleh diukur serta memberi nilai sebenar kepada rakyat.
Menurutnya, pendekatan baharu itu turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan tadbir urus berintegriti sebagai sebahagian daripada DNA pembangunan Sarawak.
“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, integriti institusi dan pengurusan berasaskan prestasi menjadi pemangkin utama ke arah negeri berpendapatan tinggi serta inklusif,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena sambutan Hari Ombuds Sarawak 2025 di Hotel Riverside Majestic, Kuching, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan juga komited memperkukuh tadbir urus korporat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun agar operasi mereka mencerminkan profesionalisme, akauntabiliti dan ketelusan.
Katanya lagi, usaha memperkukuh sektor awam turut digiatkan menerusi pembangunan kepimpinan, latihan dan transformasi digital bagi mewujudkan sistem pentadbiran yang cekap, responsif dan mudah diakses.
