KUCHING: Nilai integriti yang diterapkan dalam setiap tindakan, menjadikan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sebagai contoh pengurusan sumber yang bertanggungjawab dan beretika.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, yang juga Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA, Datuk Len Talif Salleh berkata Hari Integriti mengangkat aspirasi bahawa integriti dan kelestarian adalah unsur penting yang tidak dapat dipisahkan demi kemajuan mampan Sarawak.
“Aspirasi organisasi dalam membina ekosistem kerja berintegriti adalah dialu-alukan,”katanya pada sambutan Hari Integriti PUSAKA 2025 bertemakan “Teguh Berintegriti, Lestari Memacu Industri” di Dewan Seminar PUSAKA di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri kakitangan PUSAKA dan anak-anak syarikatnya, Ahli Lembaga Pengurusan, ketua jabatan, pegawai-pegawai dari Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, SPRM Sarawak, SIRIM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Len Talif menegaskan, kehadiran itu menunjukkan komitmen kukuh dalam memperkasakan nilai integriti, tata kelola yang baik, serta usaha anti-rasuah dalam industri perkayuan dan sektor awam.
Tema tahun ini menggambarkan peranan PUSAKA sebagai peneraju pembangunan industri perkayuan berteraskan kelestarian dan nilai integriti yang tinggi.
PUSAKA percaya kemajuan industri harus berteraskan kejujuran, ketelusan, dan tanggungjawab, demi memastikan kesejahteraan masyarakat, alam sekitar dan kesinambungan ekonomi Sarawak.
Sepanjang tahun 2025, PUSAKA l melaksanakan pelbagai program dan inisiatif utama, termasuk kejayaan memperoleh pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) pada 8 Jun 2025 serta pencapaian Anugerah Emas pada Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (AIGA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Oktober 2025.
PUSAKA merupakan satu-satunya organisasi dari Sarawak yang menerima anugerah tertinggi tersebut bagi tahun ini bagi kategori perkhidmatan awam.
Pengurus Besar PUSAKA, Datu Zainal Abidin Abdullah pula menegaskan pencapaian tersebut merupakan titik permulaan untuk usaha berterusan memperkukuh budaya kerja berintegriti dan pengurusan yang cemerlang.
Beliau berkata, sambutan Hari Integriti ini menjadi bukti komitmen semua pihak untuk menolak amalan rasuah dan menegakkan keadilan dalam setiap aspek tugas.
