KUCHING: Seramai 76 juruteknik operasi dan penyelenggaraan terdiri daripada anak Sarawak tamat mengikuti latihan bekerja dengan industri tenaga wilayah.
Latihan bekerja itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Petroleum Sarawak (PETROS) membangunkan tenaga kerja untuk Loji Tenaga Turbin Gas (CCGT) Miri 500W yang dijadual beroperasi pada Disember 2027.
Antara syarikat tenaga tempat mereka menjalani latihan bekerja itu ialah Sarawak Energy Berhad, Malakoff Power Berhad dan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia Power.
Seramai lapan lagi jurutera dijadual tamat mengikuti program PowerGen Maintenance Excellence dalam masa terdekat, manakala sembilan jurutera akan tamat mengikuti program Shadowing & Oversight Major Overhaul Inspection (SOMI) pada Disember 2025.
Latihan bekerja itu bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir CCGT. Para pelatih berkenaan menjalani latihan bekerja di loji di Bintulu, Miri, Perak dan Indonesia.
Loji tenaga CCGT Miri merupakan satu daripada projek pertama yang dibangunkan menggunakan gas di negeri ini untuk memenuhi keperluan tenaga di Sarawak.
Adalah menjadi matlamat PETROS untuk membangunkan bakat tempatan sejajar dengan penghasilan sumber tempatan untuk kemajuan mampan Sarawak, kata Naib Presiden PETROS bagi Projek Utama, Kidd Enau.
