KUCHING: Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak pada 17 hingga 21 Ogos depan akan memberi impak yang besar kepada sektor ekonomi di negeri ini.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pemain-pemain industri penginapan, makanan dan pengangkutan tempatan paling terkesan dengan kehadiran kira-kira 16,000 pengunjung terdiri daripada atlet dan pegawai semasa SUKMA nanti.
Ke arah itu katanya, MYSED akan menjalinkan kerjasama strategik bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN Sarawak) dengan melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang SUKMA berlangsung.
Katanya, MYSED perlu memainkan peranan yang penting bagi memastikan penganjuran SUKMA kali ini yang terbesar dalam sejarah berjalan lancar.
“Penganjuran SUKMA kali ini di Sarawak bakal menjadi penganjuran yang terbesar dalam sejarahnya.
“Sebanyak 37 acara sukan akan dipertandingkan dalam SUKMA edisi ke-21, menjadikannya lebih besar daripada Sukan Olimpik,” katanya berucap pada Majlis Malam Apresiasi MYSED 2024 di Kuching.
Tambah beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, sebanyak sembilan bahagian di Sarawak akan terlibat dalam penganjuran SUKMA kali ini.
Sementara itu, beliau berkata sukarelawan untuk SUKMA akan diambil dari lokasi sukan tersebut akan dianjurkan sambil menambah pihaknya turut mempertimbangkan permohonan untuk sukarelawan daripada luar Sarawak.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cenderahati kepada pegawai yang bersara serta menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan MYSED.
