Veteran tentera direkrut bantu banteras rabies di sempadan

KUCHING: Seramai 394 veteran tentera sukarela direkrut untuk menyertai ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) bagi membantu membanteras wabak rabies di kawasan sempadan Sarawak.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pasukan veteran ini merupakan barisan hadapan yang bertugas di kawasan sempadan iaitu dari Lundu hingga Ba’kelalan bagi mengekang wabak berbahaya ini dari memasuki Sarawak.

Katanya, langkah itu diambil selepas mendapati terdapat anjing-anjing penduduk di kawasan sempadan memasuki negara jiran sehingga menyebabkan sebilangan anjing mendapat virus rabies dari negara jiran.

“Begitu juga dengan Demam Babi Afrika (ASF) yang menyerang Sarawak pada tahun lalu. Jadi pasukan veteran ini kita harapkan untuk mengekang gejala seperti ini memasuki Sarawak.

“Sehingga hari ini, kita difahamkan bahawa pasukan veteran ini telah berjaya mencapai 92 peratus penyuntikan vaksin kepada anjing di kawasan sempadan dalam membantu Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah mengekang wabak ini,” jelas beliau.

Beliau menjelas demikian kepada media selepas menghadiri Upacara Menyimen Kubur mendiang Mejar Bersara (B) Michael Riman Bugat di Makam Pahlawan, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, penempatan pasukan veteran ini berpusat di kawasan sempadan memandangkan kawalan rabies kawasan tersebut lebih sukar berbanding di kawasan bandar.

Pada majlis itu, beliau memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Mejar (B) Michael Riman Bugat.