Jambatan Sungai Krian dijangka siap Ogos 2025

SARATOK: Pembinaan Jambatan Sungai Krian di sini kini telah mencapai 41.58 peratus kemajuan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, pembinaan jambatan sepanjang 690 meter itu dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.

“Justeru, saya berharap agar pihak kontraktor dapat menyiapkan kerja pembinaan Jambatan Sungai Krian ini mengikut jadual ditetapkan,” katanya semasa melakukan lawatan di tapak pembinaan Jambatan Sungai Krian dekat sini.

Aidel berkata, pembinaan Jalan Bajau-Kampung Kupang dan jambatan menyeberangi Sungai Krian dekat Kampung Pagan yang masing-masing bernilai RM90 juta dijangka ditender suku kedua tahun ini.

Selepas itu, beliau diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri melawat pembinaan jalan dari Simpang Roban ke Simpang Jambatan Batang Saribas No.2 sepanjang 24.4 km yang 16.72 peratus siap.