Ahli Parlimen GPS kongsi pengalaman bersama mahasiswa Sarawak

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menerima kunjungan 30 mahasiswa Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya (PMSUM) yang mengadakan lawatan akademik ke Bangunan Parlimen.

Lawatan tersebut memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai fungsi institusi legislatif negara, termasuk mekanisme penggubalan dasar, proses mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta peranan wakil rakyat dalam pentadbiran negara.

Program anjuran PMSUM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya itu turut bertujuan memupuk kesedaran sivik serta merapatkan hubungan antara pemimpin nasional dan golongan muda Sarawak.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, berkata sesi berkenaan membolehkan Ahli-ahli Parlimen Sarawak berkongsi motivasi, nasihat dan pengalaman bagi menguatkan keyakinan mahasiswa untuk terus cemerlang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato’ Dr Richard Rapu, menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah tepat dalam memperkasa generasi muda Sarawak, sekali gus mempersiapkan mereka untuk memikul peranan penting dalam pembangunan negeri.

Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi interaksi bersama Ahli-ahli Parlimen GPS, membuka ruang mahasiswa bertukar pandangan mengenai isu semasa serta masa depan kepimpinan anak muda Sarawak.