KUCHING: AirBorneo, syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, bersiap sedia untuk memulakan operasi penuh selepas melancarkan laman web rasminya pada 10 Disember lalu, sebagai langkah awal memperkukuh perkhidmatan udara di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata pelancaran laman web rasmi itu menandakan bahawa syarikat penerbangan tersebut bergerak ke arah kesediaan operasi penuh.
“Pelancaran laman web ini bukan sekadar simbolik. Ia menandakan fasa ujian sistem dan persediaan akhir sedang dijalankan bagi memastikan platform digital AirBorneo stabil, lancar, dan mesra pengguna. Kami mahu pengalaman penumpang berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee menambah, Kerajaan Sarawak sentiasa memantau perkembangan ini dengan teliti dan kekal menyokong usaha AirBorneo.
Menurutnya, pelancaran laman web itu juga menjadi titik pertemuan pertama orang ramai dengan AirBorneo secara digital sebelum penerbangan sulung syarikat itu, yang dijangka memperkukuh perkhidmatan udara ke kawasan luar bandar serta meningkatkan ketersambungan di Sarawak, Sabah, dan Labuan.
