SARATOK: Tebingan Saratok bakal menjadi ikon baharu daerah ini melalui sebuah projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), sekali gus membuka fasa baharu dalam pembangunan landskap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata projek tersebut merupakan impian penduduk Saratok dan diyakini mampu merancakkan ekonomi tempatan serta menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi libat urus mengenai cadangan kerja-kerja perlindungan tebing sepanjang Sungai Krian di Dewan Pejabat Daerah Saratok.
Turut hadir ialah wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong selaku agensi pelaksana, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Majlis Daerah Saratok, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), BDDA serta pihak perunding yang dilantik JPS.
Pada sesi berkenaan, wakil RKD Architects Sdn. Bhd., Mohd Khairil Na’im, membentangkan reka bentuk dan konsep projek, diikuti sesi soal jawab bagi memperincikan aspek teknikal serta perancangan keseluruhan Tebingan Saratok.
“Saya bersyukur kerana melalui BDDA, projek impian rakyat ini akhirnya dapat direalisasikan. Tebingan yang berkonsepkan mesra alam dan sesuai untuk penganjuran aktiviti seperti regata atau lumba perahu pasti memberi manfaat,” katanya.
Mohamad Duri turut menyatakan harapan agar projek tersebut dapat ditender pada tahun depan, sambil merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta BDDA atas kelulusan dan komitmen berterusan terhadap pembangunan mega di Saratok.
