Sembilan rumah spektra permata diserah kepada penduduk Kemunyang

SIBU: Sembilan unit Rumah Spektra Permata (RSP) di Kemunyang diserahkan kepada penduduk layak, termasuk daripada Kampung Hilir dan Kampung Datu, yang sebelum ini tinggal di kawasan berisiko tebing sungai.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, memaklumkan bahawa daripada 110 unit RSP yang dibina oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), hanya 10 unit masih belum diagihkan.

Sementara itu, 70 unit lagi dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), dengan tujuh unit masih kosong.

Beliau menambah bahawa baki unit akan diutamakan kepada keluarga tambahan dari Kampung Datu Lama yang sebelum ini tidak dapat ditempatkan semula akibat isu pewarisan dan pampasan.

Dr Annuar turut memaklumkan bahawa masjid di kawasan tersebut hampir siap dan dijangka mula digunakan menjelang Ramadan.

“Penempatan semula ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan kunci kepada sembilan penerima unit Rumah RSP di Kemuyang, petang tadi.

Ia turut dihadiri Pengerusi HDC yang juga ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, serta Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali.