Pantai Tanjung Kembang bakal jadi tarikan pelancong, tiga projek utama dilaksana

KABONG: Sebanyak RM25.9 juta diperuntukkan untuk tiga projek utama bagi membangunkan Pantai Tanjung Kembang, di sini.

Ia sekali gus mengukuhkan sektor pelancongan dan merangsang ekonomi masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, peruntukan itu merangkumi pembangunan Medan Selera dan Inap Desa bernilai RM15.9 juta serta naik taraf fasiliti di Pantai Tanjung Kembang dengan kos RM10 juta.

Beliau menyatakan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Cadangan Pembangunan Medan Selera dan Inap Desa serta Naik Taraf Fasiliti di Pantai Tanjung Kembang di Dewan Tertutup Pantai Tanjung Kembang.

“Projek ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa pelancongan luar bandar, sambil menyediakan kemudahan lebih selesa dan moden untuk pengunjung dan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Saratok (MDS), Mccrea Joseph Pererra, memaklumkan konsultan telah dilantik untuk melaksanakan projek berkenaan dan membentangkan skop pembangunan kedua-dua projek.

Mesyuarat turut membincangkan isu sempadan tanah di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), khususnya kawasan parkir Pantai Tanjung Kembang, bagi memastikan perancangan pembangunan dijalankan secara teratur dan bersepadu.

Sejurus tamat mesyuarat, mereka meninjau lokasi pelaksanaan projek.