KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa rakyat mengeratkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Sarawak kerana itu adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan wilayah ini.
Beliau berkata, tanpa adanya sokongan padu rakyat dalam mendokong dan menyokong segala perancangan dan dasar-dasar Kerajaan Sarawak, agak mustahil hasrat untuk mencapai status sebagai sebuah wilayah maju dan makmur pada tahun 2030 akan tercapai dengan jayanya.
“Dari aspek pembangunan dan kemajuan, saya amat bangga bahawa Sarawak kini telah menunjukkan ciri-ciri seperti sebuah wilayah yang maju di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya dalam perutusan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.
Yang Di-Pertua Negeri berkata, walaupun belum setaraf negara benar-benar maju seperti Singapura, Jepun, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Korea Selatan, Sarawak jelas sedang menuju ke arah yang sama sejak kebelakangan ini melalui Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Ciri-ciri utama kemajuan Sarawak, katanya, merangkumi: Ekonomi dan Pendapatan Tinggi, Pertumbuhan Ekonomi: Selain sumber minyak dan gas, Sarawak memberi fokus kepada sektor baharu seperti tenaga hijau, ekonomi digital, dan industri berteknologi tinggi.
Menurut beliau, sasaran adalah untuk meningkatkan pendapatan per kapita penduduk supaya setanding dengan negara berpendapatan tinggi, yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
Dari segi Kemajuan Sains dan Teknologi dan Tenaga Boleh Diperbaharui: beliau menegaskan, wilayah ini berhasrat untuk menjadi “Bateri ASEAN” dengan mengeksport tenaga hijau ke negara jiran.
Projek seperti pengeluaran hydrogen bersepadu dan penggunaan bas berkuasa hidrogen menunjukkan komitmen tinggi dalam teknologi hijau, katanya dan menambah, pelaksanaan projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) adalah langkah besar ke arah sistem pengangkutan awam yang moden, cepat, berkapasiti tinggi dan mesra alam.
Yang Di-Pertua negeri menegaskan, kerajaan melabur besar dalam pembinaan dan menaik taraf jalan pesisir, jambatan, dan rangkaian jalan raya lain untuk meningkatkan hubungan.
Pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang Samarahan dan pelabuhan laut dalam di sini akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Sarawak sebagai hab serantau untuk perdagangan dan logistik.
