KUCHING: Pendapatan negeri Sarawak yang bertambah 2.4 ganda berbanding lapan tahun lalu merupakan nikmat yang harus dikongsi dengan semua rakyat Sarawak, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendapatan yang dikongsikan bersama itu adalah dari segi penyediaan infrastruktur, kemudahan asas dan pembangunan sumber manusia.
“Baru-baru ini saya telah diberi penghormatan untuk merasmikan projek jalan raya Miri–Marudi–Mulu– Long Panai–Long Lama (MMMLL) yang akan bernilai RM3.8 billion daripada dana Sarawak sendiri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, jalan raya tersebut dengan jajaran utama sepanjang 142 kilometer (km) bukan hanya sekadar jalan raya.
Sebaliknya katanya, ia merupakan laluan kehidupan dan ekonomi baharu yang akan membuka pintu pembangunan untuk komuniti yang sebelum ini hanya boleh diakses melalui pengangkutan air atau udara.
Di samping itu, katanya, projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) yang baharu dimulakan turut memperkukuh jaringan jalan raya di utara Sarawak, sekali gus menghubungkan negeri ini dengan Sabah tanpa perlu melalui Brunei.
Projek SSLR Fasa Kedua ini, tambahnya, merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa Satu yang bermula dari Lawas ke Long Luping dan kini telah mencapai kemajuan pelaksanaan 57.6 peratus.
Melalui jalan tersebut, rakyat di kawasan utara Sarawak tidak lagi akan terbeban dengan caj lintasan, urusan passport atau perlu melepasi pos imigresen sebelum sampai ke destinasi, katanya.
Berikutan kejayaan untuk melaksanakan projek- projek jalan raya utama, beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan mengambil alih sepenuhnya jalan-jalan balak di seluruh Sarawak sepanjang 6,000 km untuk menjadi jalan awam menjelang 2030.
Menurut Premier Sarawak, kesemua projek ini akan memperkukuh keterhubungan di utara Sarawak serta membuka potensi ekonomi baharu, terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan luar bandar.
Selain komitmen terhadap pembangunan fizikal dan ekonomi, beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak juga amat menitikberatkan pembangunan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
Justeru, katanya, jadikanlah Hari Krismas ini, seperti juga perayaan-perayaan lain, menjadi wadah rakyat untuk terus membina Sarawak yang kukuh, harmoni dan stabil.
“Semangat “Segulai Sejalai” yang kita junjung tinggi ini bukan sekadar ungkapan, tetapi merupakan amalan hidup yang menyatukan kita sebagai satu keluarga besar rakyat Sarawak,” tegas beliau.
“Inilah masa untuk kita berkongsi kemesraan dan menghayati erti kekeluargaan, dan bersama-sama bersyukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan
oleh Tuhan Yang Maha Esa.
“Sudah menjadi amalan dan kebanggaan kita di negeri ini untuk hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati, walaupun berbeza latar belakang agama, bangsa dan budaya,” katanya.
“Marilah kita bersama-sama menyambut tahun 2026 dengan penuh harapan dan komitmen untuk terus membangunkan Sarawak yang kita cintai,” tegas beliau.
