KUCHING: Nilai kesyukuran, kebersamaan dan keprihatinan menjadi teras dalam sambutan Hari Krismas cerminan Belanjawan Sarawak 2026 yang menyeluruh serta berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Belanjawan Sarawak 2026 mencerminkan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau lokasi penempatan.
“Belanjawan ini bukan sekadar satu pernyataan kewangan, sebaliknya satu janji bahawa setiap rakyat Sarawak akan diperkasakan untuk berjaya, kemakmuran akan dikongsi bersama dan daya tahan masyarakat akan terus diperkukuh supaya tiada siapa yang tercicir,” katanya dalam perutusan Hari Krismas 2025 hari ini.
Menurutnya, peruntukan pembangunan berjumlah RM9.3 bilion bagi tahun 2026, dengan RM6.1 bilion atau 66 peratus disalurkan kepada kawasan luar bandar.
“Ini bukti jelas kerajaan mengutamakan pembinaan Sarawak secara seimbang serta menangani keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Jelasnya, dasar inklusiviti Sarawak yang menekankan keharmonian beragama terserlah melalui peruntukan sebanyak RM120 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan RM475 juta sejak 2025 untuk rumah-rumah ibadat.
Ia bukti sokongan berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap semua institusi keagamaan di Sarawak, tegas Uggah.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian antara agama, yang menjadi asas kestabilan dan kekuatan Sarawak,” ujarnya lagi.
Menyentuh aspek pembangunan modal insan, beliau menyambut baik pelaksanaan pendidikan tinggi percuma (FTES) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di universiti milik Sarawak, di samping peruntukan RM665 juta bagi program pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja masa depan Sarawak kekal berdaya saing.
Menutup perutusan, Uggah menaruh keyakinan terhadap kepimpinan Premier yang disifatkan berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama serta memacu Sarawak ke arah kemakmuran berterusan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
