Hayati nilai sejagat dalam kesejahteraan rakyat – Awang Tengah

KUCHING: Rakyat Sarawak diajak untuk terus menghayati nilai-nilai sejagat dalam kehidupan seharian, di samping memperbaharui komitmen bekerja bersama bagi memperkasa komuniti serta membina Sarawak yang lebih inklusif, mampan dan makmur untuk generasi akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata nilai-nilai sejagat seperti kasih sayang, belas ihsan, kemurahan hati dan kedamaian yang dirai dalam sambutan Hari Krismas menjadi asas penting keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak.

Katanya, nilai-nilai tersebut merentasi perbezaan agama dan budaya serta menyumbang kepada kestabilan sosial dan keharmonian unik wilayah ini.

“Semoga musim perayaan ini membawa kedamaian ke dalam rumah kita, harapan ke dalam hati kita, dan kekuatan baharu apabila kita melangkah ke hadapan bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan perayaan Hari Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 hari ini.