KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menekankan strategi menyeluruh bagi menangani kemiskinan, dengan fokus utama membantu rakyat meningkatkan pendapatan secara berterusan dan berdikari.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato’ Sri Fatimah Abdullah, penyediaan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur menjadi platform bagi membuka peluang ekonomi kepada golongan yang memerlukan.
“Bantuan kewangan bulanan hanya langkah awal. Matlamat sebenar adalah memastikan isi rumah mampu meningkatkan pendapatan mereka secara mampan dan keluar daripada kemiskinan,” katanya pada Majlis Pelancaran Aroma Lab di sini, hari ini.
Beliau menambah, pemutihan data eKasih menjadi usaha kritikal bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
Katanya, program pemerkasaan ekonomi dijalankan melalui geran RM5,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKM) membolehkan penerima membeli peralatan perniagaan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan hasil pendapatan.
“Sementara itu, program khas untuk wanita sebagai ketua isi rumah akan diteruskan pada 2026, dengan bantuan permulaan RM500 serta sokongan tambahan RM2,500 bagi mengembangkan perniagaan yang berjaya,” katanya.
