Projek bina benteng tangani hakisan pantai Kampung Gerigat

KABONG: Projek membina benteng air pasang di sepanjang Kampung Gerigat, di sini sedang dilaksanakan bagi menangani masalah hakisan pantai serta risiko banjir air pasang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata itu melibatkan peruntukan berjumlah RM2 juta.

Projek berkenaan antara inisiatifp kerajaan dalam memperkukuh perlindungan kawasan pesisir.

Menurutnya, benteng air pasang yang dibina itu diharap mampu memberi perlindungan jangka panjang terhadap kediaman penduduk, infrastruktur kampung serta kawasan pesisir yang menjadi sumber rezeki komuniti nelayan di Kampung Gerigat.

Chee Kadir turut menyaksikan status pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar, selaras dengan perancangan dan spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkaitan.

Beliau turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan berkenaan.