Lapangan terbang baharu Bebuling kukuhkan ekonomi Betong

BETONG: Projek pembinaan Lapangan Terbang Baharu Bebuling (STOLport) bernilai RM248 juta di sini dijangka siap Februari 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lapangan terbang itu memainkan dua peranan utama iaitu sebagai pengangkutan penumpang dan pengangkutan kargo.

“Pengangkutan kargo bagi membawa hasil ke pasaran di luar Spaoh, sekali gus memperkukuh rantaian ekonomi luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas meninjau kemajuan projek Lapangan Terbang Baharu Bebuling dan beberapa projek infrastruktur utama di Bahagian Betong, di sini, hari ini.

Projek Lapangan Terbang Baharu Bebuling merangkumi pembinaan bangunan terminal utama, kerja-kerja tanah dan turapan lapangan terbang serta kerja-kerja awam.

Lawatan kerja itu turut disertai Ahli Parlimen Betong Dato’ Dr Richard Rapu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris.