KUCHING: Semangat kebersamaan, rasa saling menghormati dan jalinan silaturahim hendaklah terus dipelihara ketika sambutan tahun baharu 2026 di Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tahun baharu perlu dijadikan medan memperteguh iltizam, memperkemas pelaksanaan serta memastikan setiap usaha diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat bersama.
“Dalam konteks ini, semangat kebersamaan, rasa saling menghormati dan jalinan silaturahim terus dipelihara sebagai asas kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan tahun baharu 2026 di sini, hari ini.
Yang di-Pertua Negeri dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi juga menzahirkan harapan agar tahun yang mendatang membawa ketenteraman, kejelasan arah dan kekuatan jiwa kepada masyarakat.
“Tun Pehin turut mendoakan agar seluruh rakyat dikurniakan kesihatan berpanjangan, keharmonian dalam kehidupan berkeluarga, kejayaan dalam setiap ikhtiar serta suasana aman dan makmur yang berterusan,” tambah kenyataan itu.
