DARO: Pembinaan jajaran jalan baharu menghubungkan ke Kampung Sawai yang diluluskan peruntukan berjumlah RM65 juta dijadual bermula tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, jajaran itu disifatkan sebagai projek berimpak tinggi yang bakal meningkatkan tahap perhubungan serta akses penduduk luar bandar.
Selain itu, ia menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi setempat.
“Pembinaan ini amat penting untuk memudahkan pergerakan penduduk, melancarkan urusan harian serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat Kampung Sawai dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Krismas 2025 serta Penyampaian Cek Bantuan Dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) St Cosmas Chapel Kampung Sawai, Matu semalam.
Beliau turut menyampaikan cek bantuan UNIFOR berjumlah RM350,000 untuk menyelenggara dan menambah baik kemudahan rumah ibadat St Cosmas Chapel Kampung Sawai.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi menaik taraf Dewan Kampung Sawai.
