Banjir: Lima PPS dibuka, beri kerjasama pada agensi terlibat

KUCHING: Setakat ini sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di sekitar bandar raya ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini melibatkan Dewan Masyarakat Stapok, Dewan Sinar Budi Baru, Surau Ar-Rahman Kampung Sungai Batu, Dewan Taman Malihah serta Surau Nurul Najin Kampung Darul Stapok.

“Sehubungan itu, orang ramai serta pemimpin diminta memberikan kerjasama kepada agensi terlibat bagi memastikan kebajikan mangsa di PPS terjamin,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Uggah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) turut diarahkan menjalankan pemeriksaan kesihatan serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di setiap PPS.

Selain itu, pihaknya mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah untuk menilai semula tahap kesiapsiagaan, khususnya melibatkan persiapan PPS, termasuk aspek kebersihan serta kemudahan asas.