KUCHING: Sarawak memulakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan sambutan ketibaan pelawat di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
Majlis disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menyifatkan inisiatif itu mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak menerima pelawat domestik dan antarabangsa.
“Bagi Sarawak, aktiviti sambutan dijalankan di sembilan lokasi merangkumi pintu masuk udara, darat dan sempadan.
“Antaranya termasuk Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, selain Tebedu, Biawak dan Sungai Tujuh,” katanya selepas sambutan ketibaan pelawat di LTAK di sini, hari ini.
Sambutan itu turut menampilkan persembahan kebudayaan yang mempamerkan kepelbagaian warisan Sarawak dan diselaraskan dengan ketibaan penerbangan dari Subang, Kuala Lumpur dan Singapura.
