Penuhi perkhidmatan berkualiti, AirBorneo teruskan perkembangan berperingkat

KUCHING: AirBorneo dijangka akan meneruskan perkembangan secara berperingkat bagi memastikan perkhidmatan penerbangan berkualiti dinikmati rakyat Sarawak.

Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi AirBorneo Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, kejayaan ini memerlukan kerjasama dengan syarikat penerbangan lain dan penggunaan model operasi kolaboratif.

“Untuk mencapai tahap terbaik, sokongan daripada rakyat, pihak syarikat dan media adalah sangat penting,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

Abu Bakar menjelaskan, kesempurnaan tidak dapat dicapai dalam masa singkat, tetapi pihaknya komited memperbaiki dan meningkatkan kualiti perkhidmatan secara berterusan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas visi jangka panjang beliau dalam memperkukuh sistem pengangkutan negeri.

“Langkah ini hanyalah permulaan. Setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama, dan kami akan terus menilai cara terbaik untuk melaksanakan perkhidmatan demi kepentingan rakyat,” tambahnya.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin, Lembaga Pengarah AirBorneo Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.