SARATOK: Ibu bapa khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka diingat tidak menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada sekolah sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ibu bapa adalah guru pertama dan perlu bersama pihak sekolah memainkan peranan penting itu.
“Mereka tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak sekolah sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tabika/Taska KEMAS DUN Krian dan Kalaka Sesi 2023/2024 di Dewan Masyarakat Sri Krian Saratok, di sini.
Seramai 86 kanak-kanak daripada 21 tadika dan taska KEMAS di DUN Kalaka dan Krian menerima sijil.
Mohamad Duri juga mengumumkan akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada KEMAS untuk keperluan dan aktiviti bagi tahun ini.
