Bilik darjah pintar SJK Chung Hua No4 rosak akan dibaik pulih

KUCHING: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No4 di sini, menerima peruntukan bagi membantu membaik pulih kemudahan bilik darjah pintar yang rosak.

Sebanyak 17 dari 31 kemudahan bilik darjah pintar sekolah itu rosak akibat kejadian ribut Oktober tahun lalu.

Sumbangan berjumlah RM50,000 itu diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato’ Ibrahim Baki ketika majlis penagihan ang pow serta bantuan makanan sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sekolah terbabit, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, sekolah terbabit sedang mengumpul dana sekitar RM150,000 bagi menjalankan kerja baik pulih kemudahan itu yang sudah bermula.

SJK Chung Hua No4 Kuching ketika ini mempunyai seramai 1,200 pelajar dengan seramai 25 peratus adalah bumiputera.

Sementara itu, ADUN Satok itu turut mengagihkan buah limau kepada orang ramai dan peniaga di Thompson Corner, Jalan Nanas.