Kawasan DBKU diiktiraf sebagai Geopark

KUCHING: Kawasan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diiktiraf sebagai Geopark atau Sarawak Delta Geopark.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan itu menjadikan kawasan DBKU kini setaraf dengan Pulau Langkawi dan Perak.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk di kawasan DBKU agar terus menjaga kebersihan alam sekitar agar terus terpelihara walaupun sedang mendepani pembangunan pesat.

“Pengiktirafan ini akan menjadi tarikan kepada pelancong kerana mempunyai nilainya yang tersendiri. Kita akan membuat perancangan supaya akhirnya tempat ini akan diiktiraf oleh Geopark Global UNESCO.

“Justeru, orang di Kuching haruslah menjaga kebersihan dan nilai estetika sepertimana yang telah diterangkan oleh Datuk Bandar DBKU sebentar tadi,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Kejiranan Mesra (KJM) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.

Beliau turut memberi pentauliahan baharu kepada Kejiranan Mesra (KJM) yang baharu iaitu KJM di kawasan Kuching Old Town dan memberi insentif sebagai tanda penghargaan kepada KJM yang aktif serta pengiktirafan kepada pengerusi KJM yang perlu dicontohi.

Hadir sama isteri kepada Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.