Harga lantai belian padi di Sarawak Sabah ditetapkan RM1,300 berkuat kuasa 15 Februari

SRI AMAN: Harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak akan ditetapkan pada kadar RM1,300 per tan metrik berkuatkuasa pada 15 Februari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan meredakan keluh kesah pesawah padi mengenai harga belian padi yang rendah di Sabah dan Sarawak sebelum ini iaitu antara RM900 hingga RM1,100 per tan metrik.

“Kenaikan harga lantai belian padi berkenaan juga berupaya membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan mereka untuk meningkatkan pengeluaran padi,” katanya ketika Program Lawatan Ke Jelapang Padi Batang Lupar di Dewan Nangkai, Stumbin di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ini akan menyeragamkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Datuk Athur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Pengarah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Pengarah IADA, Ireen Lah.