Projek naik taraf tampilkan kelainan Stadium Sarawak, persiapan menjelang Sukan SEA 2027

KUCHING: Stadium Sarawak di Petra Jaya akan berwajah baharu selepas menjalani kerja menaik taraf dan baik pulih sebagai persiapan menjelang Sukan SEA 2027.

Projek pembaikan itu dijalankan oleh Hartanah Contruction Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak berjumlah RM184.32 juta.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata stadium tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2027.

“Kerja-kerja tersebut bermula pada 30 Januari lalu,” katanya selepas majlis penyerahan dokumen kerja naik taraf dan baik pulih di Stadium Sarawak hari ini.

Beliau menambah, stadium berkenaan akan digunakan untuk acara perasmian temasya Sukan SEA yang dijadual pada September tahun yang sama.

“Projek ini bukan sekadar membaik pulih, tetapi juga mempertingkatkan fasiliti sedia ada agar selari dengan keperluan penganjuran sukan antarabangsa,” kata beliau.

Beliau berkata, kerja-kerja ini akan memastikan stadium mampu menampung keperluan penganjuran pada peringkat tertinggi.

Stadium itu berkapasiti 40,000 penonton turut menaik taraf pintu masuk utama termasuk laluan khas ketibaan tetamu kenamaan.