Syarat pendidikan minimum SPM mantapkan kepimpinan KMKK

BINTULU: Penetapan syarat minimum memiliki sijil tingkatan lima bagi pelantikan baharu ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) adalah selaras keperluan dan cabaran semasa.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pemimpin terbabit seperti tuai rumah, penghulu dan pemanca yang ada asas pendidikan yang baik juga lebih berupaya mengurus dokumentasi, menyediakan laporan serta berkomunikasi secara rasmi dengan agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

Selain itu katanya, antara isu yang sering timbul ialah kelemahan dalam penyediaan laporan kerana KMKK kurang kemahiran menggunakan komputer dan ini perlu diberi perhatian.

“Namun begitu, terdapat juga calon yang tidak memiliki kelulusan tingkatan lima tetapi mempunyai pengalaman luas dalam sektor kerajaan, keselamatan atau perkhidmatan awam. Golongan ini masih boleh dipertimbangkan mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata demikian ketika Program Juh Ngopi Ngan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Tatau, di sini, hari ini.

John Sikie berkata, selain itu bagi pelantikan baharu KMKK, keutamaan juga harus diberikan kepada individu berpengetahuan dan berkeupayaan supaya pentadbiran kampung dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan sistematik.

Beliau turut mengingatkan agar proses pemilihan KMKK dilaksanakan secara telus dan adil tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan tertentu.

“Pemilihan yang berintegriti mampu melahirkan barisan pemimpin yang dihormati dan diyakini masyarakat,” ujarnya lagi

Hadir sama, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.