Graduan CENTEXS penuhi pasaran pekerjaan

KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Santubong meraikan Konvokesyen Ke-10 hari ini.

Ia menandakan sedekad kecemerlangan dalam pembangunan bakat dan penghasilan tenaga kerja sedia industri selaras dengan agenda pembangunan negeri.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sepanjang tempoh tersebut, CENTEXS bukan sahaja berjaya melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah menghasilkan tenaga kerja yang benar-benar memenuhi keperluan industri.

Menurut beliau, pendekatan latihan berasaskan kompetensi yang dilaksanakan menjadi kekuatan utama institusi itu dalam memastikan graduan memiliki kemahiran teknikal dan profesional yang relevan serta menepati standard industri semasa.

“CENTEXS memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak dengan menyediakan bakat tempatan yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia memasuki pasaran kerja,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan sedekad itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan latihan kemahiran (TVET) sebagai pemangkin pembangunan ekonomi Sarawak.

“Saya berbangga CENTEXS menghasilkan graduan yang bersedia untuk pekerjaan.

“Matlamat utama program latihan kompetensi berasaskan industri ini untuk membangunkan graduan dan profesional yang dilengkapi kemahiran diperlukan majikan merentasi pelbagai sektor industri,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini hari ini.

Majlis konvokesyen itu berlangsung dari 10 hingga 13 Februari di Dewan Serbaguna, CENTEXS Santubong.

Ia menyaksikan seramai 2,496 graduan diraikan, menjadikan jumlah keseluruhan graduan sejak 2015 mencecah 26,063 orang.

Konvokesyen kali ini turut mencatat sejarah dengan pengiktirafan kohort perintis Program Aeroangkasa melibatkan 36 graduan dalam bidang Aeroangkasa Lembaran Logam dan Operasi Pemesinan yang kesemuanya telah menerima tawaran pekerjaan.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama industri, CENTEXS turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) strategik bersama HUAWEI Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan GAMUDA Technologies.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, ahli-ahli Lembaga Pengarah CENTEXS.