KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) berjaya menganjurkan 162 program dan aktiviti di seluruh negeri dalam tempoh Julai 2025 hingga Januari 2026, bagi memperkasa belia dan komuniti.
Presidennya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program merangkumi bengkel, sukan, kebudayaan, kebajikan serta latihan kemahiran yang dilaksanakan di peringkat negeri, cawangan dan unit.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak Ke-60 di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, jumlah keahlian SABERKAS kini mencecah 56,750 orang setakat 31 Januari 2026 termasuk 1,387 ahli di institusi pengajian tinggi.
Jelasnya, antara program utama yang dirancang tahun ini ialah Kejohanan Futsal Piala Presiden SABERKAS pada Mei serta program Bubur Lambuk yang menjadi aktiviti ikonik tahunan.
Secara keseluruhan, beliau menyifatkan perkembangan SABERKAS ketika ini amat memberangsangkan dengan pelbagai program diadakan hampir setiap minggu sekali gus melahirkan barisan kepimpinan muda yang berpotensi untuk masa depan negeri.
Hadir sama, Setiausaha Agung SABERKAS merangkap ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad.
