RM14,800 jadi taruhan Pertandingan Memancing Muara Lassa

DARO: Pertandingan Memancing Muara Lassa Daro bakal mencipta sejarah apabila menjadi acara pertama seumpamanya diadakan di Jeti Jambatan Muara Lassa.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Daro, Mohd Faizal Jamiludin berkata, persiapan rapi sedang dilakukan bagi memastikan pertandingan anjuran Pemuda Parti PBB N.43 Daro yang menawarkan hadiah RM14,800 itu berjalan lancar.

Ketika ini katanya, jawatankuasa penganjur termasuk belia dan wanita berganding bahu untuk memastikan persiapan dilakukan dengan sempurna.

“Saya menzahirkan rasa terharu dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan kejayaan program ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan pertandingan berkenaan.

Penyertaan dibahagikan kepada kategori individu dan pemancing bot, dengan juara kategori individu membawa pulang RM2,000, diikuti RM1,000 bagi naib juara dan RM700 untuk tempat ketiga, selain tujuh hadiah saguhati RM100 setiap satu.

“Bagi kategori pemancing bot pula, hadiah utama sebanyak RM4,000 disediakan, manakala naib juara menerima RM3,000 dan tempat ketiga RM2,000, selain tujuh hadiah saguhati bernilai RM200 setiap satu,” katanya.

Mohd Faizal berkata, kadar penyertaan ditetapkan RM40 bagi kategori individu dan RM120 untuk pemancing bot, manakala program itu dijangka turut menjadi platform pertemuan pemancing dari pelbagai kawasan untuk bertukar pengalaman serta mengeratkan silaturahim.

Sementara itu, sebahagian laluan perairan Batang Lassa berhampiran jeti berkenaan akan ditutup sementara dari 7 pagi hingga 4 petang, 3 Oktober ini, membabitkan kawasan dalam lingkungan kira-kira satu kilometer (km) sebagai zon pertandingan.