Pekebun kecil Nipah terima bantuan peralatan

KABONG: Seramai 25 pekebun kecil nipah dari Kabong menerima bantuan peralatan menerusi Program Pembangunan Pekebun Kecil Nipah.

Bantuan itu bagi Melestarikan Bekalan Nira di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan itu merupakan usaha memperkukuhkan industri nipah secara mampan selain meningkatkan kecekapan pengeluaran nira.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) bagi menyokong pembangunan industri serta kesejahteraan pekebun kecil.

Antara peralatan disalurkan ialah pisau penyadap, parang tebas, gelen penyimpanan nira jenis food grade, kasut but getah dan kereta sorong.

Beliau berkata, penggunaan peralatan bersesuaian membolehkan aktiviti pengeluaran nira dijalankan dengan lebih selamat, teratur dan berkesan.

“Pemberian insentif ini juga memperlihatkan usaha berterusan untuk memperkenalkan penggunaan peralatan serta amalan agronomi yang lebih baik dalam kalangan pekebun kecil nipah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemberian insentif berkenaan di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, hari ini.

Chee Kadir berkata, bantuan berkenaan berpotensi meningkatkan produktiviti pengeluaran nira sekali gus membantu menambah pendapatan pekebun kecil dan keluarga mereka.

Beliau berharap penerima memanfaatkan bantuan bagi memastikan aktiviti pengeluaran nira berterusan dan mampan.