OSTPC fokus kurangkan remaja hamil

KUCHING: Bilangan remaja hamil di Sarawak menurun daripada 1,159 kes pada 2025 kepada 1,070 kes bagi 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penurunan itu merupakan antara perkembangan yang dilaporkan dalam Mesyuarat
Jawatankuasa Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) Bil 2 2026.

“Selepas 10 tahun kita melihat penurunan bilangan dan peratusan remaja hamil dan ini merupakan pencapaian kerana setiap tahun kita melihat penurunan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat OSTPC Bil 2 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, OSTPC turut memberi perhatian kepada peningkatan satu peratus dalam peratusan remaja hamil yang tidak berkahwin bagi tempoh 2025 dan 2026.

Katanya, status persekolahan turut menjadi perhatian apabila bilangan remaja hamil yang tidak bersekolah menurun daripada 63 kepada 54 kes, manakala peratusannya turun daripada 96.9 peratus kepada 95 peratus.

“Pada peringkat bahagian, setiap kes dibincangkan satu persatu supaya remaja yang mahu kembali ke sekolah selepas melahirkan anak dapat dibantu termasuk memudahkan proses pertukaran sekolah jika diperlukan,” tambahnya.

Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 474 kes rujukan melibatkan agensi dibuat di bawah OSTPC dengan 373 kes diselesaikan manakala 101 kes masih dalam proses.

Fatimah berkata, kes yang dibawa ke peringkat bahagian merangkumi keperluan kebajikan, kaunseling, khidmat nasihat dan bantuan berkaitan perkahwinan manakala sebahagian kes turut diselesaikan di hospital sebelum remaja dibenarkan pulang.

“Program intervensi pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan statistik yang dibentangkan dengan enam program dirancang bagi Oktober hingga Disember,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu melibatkan kerjasama beberapa agensi dan menggunakan modul Jabatan Kesihatan yang memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan remaja secara menyeluruh. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI