RM5.1 juta laksana program sumbangsih perayaan, hargai pengorbanan anggota keselamatan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5.1 juta untuk program sumbangsih tiga musim perayaan di negeri ini tahun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif pemberian sumbangsih pada musim perayaan itu bagi menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan pengukuatkuasaan yang bertugas semasa Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai Dayak.

Inisiatif tersebut merupakan ilham arwah isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang menginginkan nilai inklusiviti dalam pemberian bantuan kepada badan beruniform, katanya pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Tahun Baharu Cina 2026, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus menghargai komitmen anggota badan beruniform yang bertugas tanpa mengira waktu termasuk ketika musim perayaan di barisan hadapan demi memastikan keselamatan negeri terpelihara.

Ramai petugas keselamatan kekal komited melaksanakan tanggungjawab, khususnya apabila statistik menunjukkan peningkatan ketara kemasukan orang luar ke Sarawak pada musim perayaan, tambahnya.

“Kita berusaha membantu supaya ada semangat perayaan bersama-sama dengan mereka walaupun jauh daripada keluarga,” ujar beliau.

Pada tahun ini kerajaan melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak mengagihkan sebanyak 11,900 kontena berupa makanan kepada 11 agensi penerima.

Penerimanya ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Penjara (JPM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.