LIMBANG: Peruntukan Outright Grant (OG) sebanyak RM262,000 diserahkan kepada masjid dan surau di daerah ini, hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah menyampaikan sumbangan terbabit kepada 10 masjid dan 53 surau.
Sumbangan itu disampaikan pada Majlis Pelancaran Semarak Ramadan dan Penyerahan Cek Sumbangan dan Kurma Peringkat Limbang 2026 di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini.
Sementara itu, Hasbi menasihati agar umat Islam tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan bermalas, sebaliknya memperbaiki diri.
“Ramadan bulan rahmat dan disambut esok, kita berharap dengan semangat Ramadan itu nanti akan memberikan kita kekuatan dalam mengerjakan ibadah dan kerjaya semua,” katanya.
