Sarawak rancang bina Pusat Prestasi Tinggi Sukan

KUCHING: Sarawak menyasarkan pembinaan sebuah Pusat Prestasi Tinggi Sukan di negeri ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memperkukuh pembangunan atlet berasaskan sains sukan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pusat berkenaan amat diperlukan bagi memastikan latihan atlet tidak lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata, sebaliknya disokong pendekatan saintifik yang menyeluruh.

Menurut beliau, peranan sains sukan meliputi aspek pemakanan, tumpuan terhadap bahagian tubuh tertentu, persediaan mental serta penyesuaian fisiologi mengikut keperluan pertandingan.

“Pusat prestasi tinggi ini akan memainkan peranan penting dengan dikendalikan pakar dan saintis sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelepasan D’Drift 2026: Tracing Stories Along the Coastal Road di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, tapak bagi pembinaan pusat tersebut dikenal pasti dalam kawasan Kompleks Sukan Sarawak yang kini merupakan antara kompleks sukan terbesar di Malaysia dalam satu lokasi berpusat.

“Kawasan kompleks berkenaan meliputi kira-kira 67 hingga 68 ekar merangkumi dua lot tanah, termasuk perancangan pembinaan velodrom serta penambahan kemudahan lain seperti penaiktarafan lapang sasar menembak,” katanya.

Bagi melaksanakannya, beliau menjelaskan, kerajaan negeri sedang berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara bagi menjadikan projek tersebut sebagai usaha kolaboratif.