Sarawak cadang buka pejabat di Abu Dhabi, diurus SEB, PETROS

KUCHING: Kerajaan Sarawak mencadangkan pembukaan sebuah pejabat di Abu Dhabi yang akan diuruskan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bagi memperkukuh hubungan serta menguruskan projek tenaga yang dicadangkan di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan dengan pihak Abu Dhabi serta menguruskan cadangan projek di Sarawak.

“Bagaimanapun, cadangan itu masih pada peringkat awal dan pihaknya kini menunggu perkembangan pelaksanaan projek berkenaan di Sarawak. Saya rasa projek berkenaan masih dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan.

“Jurutera daripada pihak terbabit juga sudah beberapa kali datang ke Sarawak. Saya rasa mungkin dalam tempoh setahun atau lebih,” katanya pada selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak 2026 (SCOPE): Daripada Visi Kepada Realiti Dalam Perjalanan Transformasi Sarawak di Kuching, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta tetamu kenamaan lain.

Mengenai transformasi sektor korporat Sarawak, Abang Johari berkata, pembangunan perlu berasaskan kekuatan sedia ada negeri, selain meneroka industri baharu yang boleh diwujudkan menerusi perkembangan teknologi terkini.

“Sebagai contoh, saya ada menyebut bahawa kita boleh membangunkan sumber gas kita, termasuk untuk menghasilkan bahan bagi industri pakaian.

“Terdapat teknologi daripada HighChem yang diuruskan oleh syarikat Sakura bersama HighChem dan Indorama. Mereka kini bercadang menempatkan operasi syarikat itu di Bintulu dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$1 bilion. Ini merupakan satu industri baharu.

“Sebab itu, saya melihat Sarawak mempunyai kekuatan dan ramuan yang diperlukan untuk kita mentransformasikannya kepada industri yang lebih maju dan baharu, itu yang saya tekankan,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak juga perlu meneroka penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan industri yang lebih berdaya saing.

“Walaupun kos penggunaan teknologi berkenaan agak tinggi pada peringkat awal, kos tersebut akan menurun selari dengan perkembangan teknologi,” ujarnya lagi.