Randau wakil rakyat bincang infrastruktur Rumah Tira Brundang

KABONG: Biro Wanita Rumah Tira Brundang harus mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, penglibatan golongan itu penting bagi memastikan aktiviti yang dirancang memberi impak positif kepada warga rumah panjang.

Menurutnya, sumbangan yang diterima juga perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi menyokong pelaksanaan program.

“Diharapkan Biro Wanita Rumah Tira Brundang terus aktif menganjurkan program untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Randau bersama warga Rumah Tira Brundang yang membabitkan 24 pintu dengan kira-kira 176 penduduk di sini, hari ini.

Sesi randau menjadi platform bagi Chee Kadir berinteraksi secara langsung dengan penduduk, selain mendengar pandangan, menyantuni masyarakat serta memahami keperluan dan aspirasi komuniti rumah panjang berkenaan.

Pada kesempatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Tira Brundang bagi melaksana aktiviti.

Dalam sesi sama, kemudahan infrastruktur menerusi projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) di kawasan DUN Kabong turut dibincangkan.

Ini termasuk projek menaik taraf jalan simen di Rumah Nangkai Janggat, Panjang Atas, Roban dengan peruntukan RM350,000 serta pemasangan lampu solar di rumah-rumah panjang.