Motif hiasan di LTAK akan diteliti

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan menyiasat serta meneliti rekaan motif yang dipamerkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) susulan dakwaan ia tidak mencerminkan identiti budaya dan warisan Sarawak.

Menterinya, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berdasarkan gambar yang tular di media sosial, motif tersebut kelihatan seperti dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

“Motif yang ditunjukkan itu kelihatan seperti AI dan tidak benar-benar mencerminkan motif Sarawak.

“Jika ia tidak mencerminkan budaya dan warisan kita, ia sepatutnya digantikan dengan motif yang betul,” katanya semasa sidang media Jawatankuasa Induk Sarawak Regata dan majlis penyerahan mock cek penajaan ketika di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Tegasnya lagi, MCTP akan turut meneliti sumber dan pihak yang bertanggungjawab terhadap rekaan berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil.

Beliau menegaskan, elemen yang dipamerkan di pintu masuk utama negeri perlu mencerminkan identiti Sarawak secara tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelawat.

Sebelum ini,penggunaan motif yang didakwa menyerupai corak tenunan ikat Indonesia pada latar paparan di LTAK mencetuskan kebimbangan mengenai ketepatan representasi identiti budaya Sarawak.

Perkara itu mula mendapat perhatian selepas dibangkitkan Presiden Persatuan Kraftangan, Seni dan Cenderamata Sarawak, Gerald Goh menerusi media sosial.

Menurut beliau, hampir 98 peratus motif yang dipaparkan didakwa menggunakan corak tenunan ikat Indonesia, manakala motif tradisional Sarawak, Pua Kumbu, hanya ditampilkan dalam saiz kecil di bahagian sudut paparan. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI