DARO: Amalan kunjung-mengunjung sempena perayaan utama pelbagai kaum bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Malah katanya, ia memperkukuh semangat perpaduan dan toleransi yang menjadi teras kekuatan masyarakat Sarawak sejak sekian lama.
Beliau menyifatkan sambutan itu sebagai cerminan keindahan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang terus melangkah maju dan makmur.
Ujarnya, semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai bangsa dan kaum di negeri ini sentiasa diraikan bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami.
“Semoga sambutan Tahun Baharu Cina membawa kesejahteraan, kebahagiaan serta kemakmuran kepada masyarakat, selaras aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa mengadakan kunjungan mesra ke kediaman beberapa masyarakat Tionghua di sini.
Dalam kunjungan berkenaan, Ahmad Johnie meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk serta mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di kawasan Parlimen Igan.
