KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun ini.
Ini sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang telah kembali ke rahmatullah belum sampai setahun yang lalu.
“Secara peribadi saya ingin memaklumkan bahawa saya dan seisi keluarga tidak akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan sempena Aidilfitri 2026.
Namun demikian, beliau dan keluarga berharap semoga Syawal ini membawa sinar kebahagiaan, memperkukuh perpaduan dan menambahkan keberkatan dalam kehidupan rakyat semua.
Abang Johari turut berkata, beliau bersama pimpinan Kerajaan Sarawak dengan penuh rasa rendah diri memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan.
“Saya sedar amanah yang dipikul ini amat besar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan terus berusaha dengan penuh komitmen dan integriti untuk memastikan Sarawak terus melangkah maju sebagai sebuah wilayah yang makmur, progresif dan dihormati.
Menurutnya, sebagai sebuah wilayah yang besar, Sarawak kini berada pada fasa penting untuk menaik taraf sistem infrastruktur jalan raya dan kemudahan asas, khususnya bekalan air dan letrik dan capaian internet.
Katanya, usaha ini harus diselarikan dengan pelbagai inisiatif strategik untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, dengan pemerkasaan bidang teknologi tinggi, inovasi, nilai tambah dan kelestarian alam sekitar.
