Nilai kasih sayang, saling menghormati asas Sarawak kekal maju makmur

KUCHING: Rakyat negeri ini digesa agar terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian sempena Aidilfitri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, malah merupakan detik penting untuk mensyukuri nikmat, mempereratkan silaturahim serta saling bermaaf-maafan.

Menurutnya, dalam suasana penuh kemeriahan itu, masyarakat juga perlu terus mengamalkan nilai kasih sayang, toleransi dan saling menghormati dalam kehidupan seharian.

“Di Sarawak, kita hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Keunikan ini merupakan kekuatan yang perlu kita pelihara bersama.

“Semangat perpaduan, keharmonian dan saling memahami antara masyarakat menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan Sarawak terus maju dan makmur,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Beliau turut mengajak rakyat menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai peluang untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dengan seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Tambahnya, dengan semangat perpaduan dan kebersamaan, rakyat mampu bersama-sama menyumbang kepada kemajuan serta kesejahteraan negeri.

Dalam pada itu, beliau dan keluarga turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam khususnya di Sarawak.

“Semoga sambutan Hari Raya pada tahun ini membawa kegembiraan, kedamaian dan keberkatan kepada kita semua.

“Saya juga ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan,” katanya.