PETRA sedia hadapi musim Monsun Timur Laut semasa Aidilfitri

PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sentiasa bersedia menghadapi Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir semasa perayaan Aidilfitri pada Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sebanyak 745 kejadian banjir direkodkan di seluruh negara kecuali Putrajaya sehingga 17 Mac lalu dan PETRA melaksanakan beberapa langkah strategik seperti pemantauan operasi ramalan dan amaran banjir dilaksanakan 24 jam sehari sepanjang tahun.

“Ini melalui penggunaan model ramalan banjir di 36 lembangan sungai, yang berfungsi memberikan ramalan awal dan amaran banjir melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, sebanyak 614 siren amaran banjir dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, selain 197 kamera pemantauan yang berfungsi secara langsung bagi membantu pemantauan situasi semasa.

“Sehingga 16 Mac lalu, sebanyak 675 pengaktifan siren amaran banjir direkodkan sebagai langkah penyampaian amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 3,682 lokasi hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh negara sebagai rujukan orang awam dan antara negeri mencatatkan jumlah hotspot tertinggi ialah Pahang dengan 760 lokasi, diikuti Kelantan sebanyak 618 lokasi dan Sabah sebanyak 517 lokasi.

Di samping itu, katanya sebanyak 606 pam mudah alih pelbagai kapasiti, 1,079 pintu kawalan air serta 285 rumah pam di seluruh negara dalam keadaan baik dan sentiasa bersedia digunakan sekiranya diperlukan.

“Pemantauan rapi turut dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir, serta kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di lembangan-lembangan sungai yang dikenal pasti berisiko tinggi mengalami banjir,”katanya.

Fadillah menambah kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi bagi hebahan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan yang diramal berisiko dilanda banjir.

“Penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Negeri bagi menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pelepasan air empangan sebagai langkah persediaan untuk meningkatkan keupayaan takungan banjir empangan sepanjang Monsun Timur Laut,” tambahnya.

Katanya, orang awam disaran sentiasa mengikuti maklumat berkaitan ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.